The Choice

Sulaiman Akira Pendakwah Gigih

Posted by shah03 on October 25, 2007

Bismillah..

Pada kesempatan kali ini, saya berhasrat untuk berkongsi kisah seorang lagi saudara kita, Saudara Sulaiman Akira Hamanaka (Muslim Japanese) yang gigih berdakwah demi Islam tercinta. Memiliki sebuah masjid di Bandar Niihama, Ehime, Saudara Akira banyak membantu Ikatan Persaudaraan Islam Jepun (IPIJ), persatuan pelajar Islam Malaysia di Jepun, semasa program di Pulau Shikoku pada tahun 2004 dan 2005.

Koleksi gambar aktiviti IPIJ di Shikoku, tahun 2004: KLIK DI SINI

* Bersama dalam gambar adalah Datuk Bandar Niihama.

Koleksi berita mengenai Saudara Akira: KLIK DI SINI

Mari doakan semoga beliau dan kita semua terus dikekalkan di atas jalan kebahagian, addeenul Islam, ameen. Bersama mencontohi semangat dan usaha dakwah beliau.

SHAH REZA, 25/10/2007, 13 Syawal 1428 H

——————-

Personaliti: Sulaiman Akira pendakwah gigih

Bina masjid RM1.7 juta bukti cinta saudara baru kepada Islam

Oleh Zainab Mohd Yatim

PENGALAMAN tinggal beberapa hari bersama keluarga Melayu yang mengamalkan solat berjemaah lima waktu menimbulkan minat Sulaiman Akira Hamanaka untuk mendalami Islam dan ajaran yang terkandung dalam agama dibawa Nabi Muhammad SAW itu.

Beliau yang ketika itu melancong di Singapura berkesempatan tinggal beberapa hari dengan keluarga Melayu di sana dan begitu tertarik melihat seorang bapa yang juga ketua keluarga mengimamkan solat manakala isteri dan anak menjadi makmum.

Perasaan ingin tahu apakah agama yang dianuti keluarga Melayu itu menyebabkan beliau bertekad mendapatkan sebanyak maklumat yang mungkin dan pada saat itu beliau teringat mengenai Islam yang pernah dipelajari ketika bersekolah di sebuah perkampungan kecil di Ehime di Barat Daya Pulau Shikoku.

“Pertama kali didedahkan kepada agama Islam ialah melalui subjek sejarah dunia yang dipelajari di bangku sekolah tetapi masa itu ia tidak memberi apa-apa makna kepada saya. Apabila tinggal bersama keluarga Melayu ketika melancong di Singapura, timbul keinginan untuk mengenali Islam,” katanya.

Katanya, hatinya kemudian terus memberontak untuk mengetahui lebih mendalam mengenai agama keluarga Melayu itu dan dalam diam beliau membuat kajian mengenai Islam yang akhirnya membawa perubahan besar dalam hidupnya.

Mahir berbahasa Arab dan bahasa Melayu, malah hafiz beberapa juzuk al-Quran iaitu empat juzuk yang terakhir, Sulaiman mengucap dua kalimah syahadah di Masjid Negara pada 1972 ketika berusia 19 tahun.

Mengimbau kembali peristiwa bersejarah itu, anak Pengarah Persatuan Badminton Jepun itu berkata, pembabitan bapanya dalam sukan badminton mendedahkan beliau kepada banyak negara termasuk Indonesia dan Malaysia serta agama yang dianuti rakyatnya.

Kebetulan, beliau mendapat tahu mengenai seorang berbangsa Jepun yang belajar mengenai Islam di Masjid Negara, Kuala Lumpur, dan terus mengambil keputusan datang ke Malaysia sebaik menamatkan pengajian dalam jurusan Sains Teknologi di Universiti Okayama.

Sulaiman berkata, beliau terpaksa merahsiakan niatnya ke Malaysia untuk mendalami Islam sebaliknya meminta kebenaran ibu bapanya untuk datang ke negara ini dengan menggunakan alasan bagi mendalami bidang sukan badminton.

“Saya nekad pergi ke Masjid Negara dan seingat saya, saya duduk di masjid itu dari Zuhur hingga lepas Maghrib. Saya tunggu hinggalah seorang warga tempatan bernama Basri Khalil menegur dan bertanya hajat saya,” katanya.

Pengenalannya dengan Basri, ketua pelajar kelas Maahad di Masjid Negara, membuka laluan kepada pendidikan formal mengenai agama Islam dengan mengikuti pengajian di Kelas Maahad Masjid Negara.

Mendapat pembiayaan Pusat Islam Malaysia, beliau menamatkan pengajian tahun satu dalam masa tiga bulan kemudian terus melompat ke tahun berikutnya dan dalam tempoh dua tahun, berjaya ke peringkat Thanawi Tahap Dua.

Beliau tidak menamatkan pengajian tertinggi Thanawi, sebaliknya membuat keputusan melanjutkan pelajaran di mana-mana negara Arab dengan hasrat untuk memahirkan diri bercakap dalam bahasa berkenaan.

Keputusannya mendapat sokongan Pengarah Pusat Islam, Mohamed Nawawi Mahmood, seorang daripada dua individu yang paling banyak membantu beliau mengukuhkan agama Islamnya, selepas Basri.

Walaupun Nawawi, pengarah pertama Pusat Islam, mahukan beliau menyambung pelajaran di Nilam Puri, di Kelantan, tetapi Sulaiman tekad untuk ke negara Arab dan akhirnya Pengarah Pusat Islam itu mengesyorkan beliau ke Libya. Nawawi meninggal dunia pada 10 Julai 2006.

Di Libya, lembaran baru dalam hidupnya bermula apabila bertemu dengan dengan isteri, Nur El-Hasanah, juga seorang warga Jepun, ketika belajar di Universiti Al-Azhar di Mesir pada 1977. Isterinya ketika itu mengikuti pengajian bahasa Arab sebagai tambahan ilmu bahasa asing bagi mengambil kesempatan daripada ledakan industri minyak dunia.

Sebelum balik ke kampung untuk memperkenalkan isteri kepada keluarga, Sulaiman singgah bertemu Nawawi yang mencadangkannya supaya terus menetap di Malaysia, tetapi pelawaan itu ditolak dengan alasan kukuh untuk pulang berdakwah di Jepun.

“Saya fikir lebih baik saya di Jepun kerana ilmu yang diperoleh dapat dikongsi bersama masyarakat Islam di Jepun yang hanya minoriti, sedangkan di Malaysia ketika itu sudah ramai ulama dan pendakwah.

“Keputusan yang saya ambil memang tepat, walaupun berada dalam kelompok minoriti di kalangan majoriti masyarakat Jepun, hidup saya begitu bermakna,” katanya yang kini mengusahakan perniagaan menjual peralatan badminton.

Ketika kepulangannya ke Ehime, beliau dan isteri saja yang beragama Islam, tetapi kini kawasan itu menampung 50 penganut Islam. Lebih menggembirakan beliau, jika pada awal 1970-an di Jepun hanya ada dua buah masjid, kini ada kira-kira 40 buah masjid untuk umat Islam tempatan dan pelancong, serta pekerja asing Muslim beribadat.

Sebuah daripada masjid itu ialah Masjid Niihama yang dibina oleh Sulaiman dengan modal 60 juta yen (RM1.7 juta).

Sulaiman kini sedang berusaha untuk membeli sebidang tanah bagi diwakafkan sebagai tanah perkuburan orang Islam di Pulau Shikoku kerana di Jepun hanya ada satu tanah perkuburan Islam. Beliau berharap inisiatif yang diambil akan mendorong penganut Islam lain mengikut jejak langkahnya menyumbang ke arah pembangunan Islam.

Perkembangan teknologi maklumat (IT) turut memberi kelebihan kepadanya untuk mengembangkan dakwah terutama di kalangan generasi muda.

“Berbanding di Malaysia, aktiviti pembelajaran agama lebih dekat dengan guru dan meluas. Mereka ada kelas agama, badan bukan kerajaan juga memainkan peranan penting dalam menyediakan aktiviti keagamaan.

“Di Jepun bilangan masyarakat Islamnya berselerak, dan sukar untuk mengumpulkan semua menyertai program keagamaan secara formal. Penggunaan IT banyak membantu mengumpulkan dan menyatupadukan masyarakat Islam di sana,” katanya yang mengambil inisiatif memperkenalkan laman web Islam pertama Jepun, lima tahun lalu.

Laman web dalam bahasa Jepun itu, http://islam.web.infoseek.co.jp/ beliau reka khas bagi mendekatkan umat Islam Jepun dan beliau percaya hingga kini laman web itu sudah menarik lebih 1,000 saudara baru menerusi jaringan maklumat dan pusat rujukan disediakan laman web berkenaan.

Laman web itu menggunakan karektor Hiragana, Katakana dan Kanji, turut dimanfaatkan masyarakat Jepun yang menetap di seluruh dunia khususnya dalam menjawab kemusykilan dan bertukar fikiran mengenai Islam.

Ditanya sama ada beliau mahu menguruskan kelas pembelajaran dan ceramah agama di Jepun, beliau berkata itu tidak mampu dilakukan kerana kedudukan penduduk Islam yang berselerak.

Selain itu, beliau juga perlu mengukuhkan ekonomi untuk membantu memakmurkan masyarakat Islam Jepun mengikut pendekatannya sendiri iaitu menerusi internet dan jalinan hubungan dengan rakan negara Islam yang lain menerusi badminton.

PROFIL

  • Peluk Islam di Masjid Negara pada 1972 ketika berusia 19 tahun.
  • Menyambung pengajian Islam di Libya.
  • Berkahwin dengan Nur El-Hasanah, juga warga Jepun, ketika belajar di Universiti Al-Azhar Mesir pada 1977.

Sumber: Berita Harian 5 Julai 2007

3 Responses to “Sulaiman Akira Pendakwah Gigih”

  1. Assalamualikum…saya betul-betul tak sangka wujud juga komuniti Islam di Jepun…saya berharap semoga suatu hari nanti lebih ramai lagi bangsa Jepun memeluk Islam…InsyaAllah!…

  2. shah03 said

    Waa’laikumussalam

    Alhamdulillah, semakin hari masjeed semakin bertambah. Derma untuk pembinaan masjeed semakin membuak-buak di sana-sini.

    Yang pastinya, kita janganlah ketinggalan dalam arus kebangkitan ini.

  3. Zainab Mohd Yatim said

    Saya penulis artikel mengenai Haji Sulaima Akira.
    Kebetulan saya melayari blog ini dan terjumpa artikel yang telah lebih setahun ditulis. Untuk pengetahuan pembaca, khabarnya, sejak artikel itu ditulis, bilangan masjid di Jepun telah meningkat kepada 52 buah. Alhamdulillah. Ini maklumat terbaru yang saya terima (sekitar bulan Julai lalu). Alhamdulillah.

    Salam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: